Monday, February 28, 2011

Gerakan Pembaharuan Rakyat Di Timur Tengah

Permulaan tahun 2011 bermula dengan cetusan gelombang kebangkitan rakyat di negara Timur Tengah. Saban bulan dan saban minggu, satu persatu negara di Timur Tengah tumbang dek kebangkitan rakyat. Sehingga hari ini sudah dua buah negara tumbang iaitu Tunisia dan Mesir. Namun, kejayaan rakyat di dua buah negara ini menjatuhkan pemimpin yang zalim telah memberi semangat baru kepada saudara-mara di negara jiran yang terkini adalah Libya yang sedang dalam ussaha oleh rakyatnya untuk menumbangkan Muammar Gaddafi pemimpin zalim yang telah memerintah Libya hampir 30 tahun. Dek kerana mengaut keuntungan dan tidak menjaga kepentingan rakyat maka inilah padahnya. Cetusan ini hasil daripada kebangkitan golongan muda di negara Timur Tengah. Pepatah Melayu ada mengatakan:

Sampan Kolek Mudik Ke Muara

Sarat Muatan Rempah dan Lada

Jangan Di Robek Hati Anak Muda

Kelak Kerajaan Akan Sengsara

Di Malaysia selama 53 tahun negara merdeka, pelbagai kemajuan telah dikecapi. Sehinggakan keamanan dan keharmonian berbilang kaum di negara ini menjadi contoh kepada neagra-negara lain. Kaitan dengan kebangkitan rakyat di Timur Tengah dengan negara malaysia yang penulis ingin sentuh adalah, Adakah semangat dan gerakan ini telah mula menyelinap masuk ke negara ini? dan Adakah kebangkitan rakyat ini akan menjadi penentu kepada Pilihanraya Umum ke-13 akan datang?

Persoalan pertama adakah semangat kebangkitan rakyat di Timur Tengah mula menyelinap di negara ini? Seperti kita sedia maklum, Timb. Perdana Menteri ada menyatakan bahawa Pembaharuan Rakyat di Timur Tengah tidak masuk dan wujud di negara Malaysia tercinta ini. Tetapi sejauhmana kenyataan tersebut mampu menidakkan penularan semangat tersebut. Hal ini kerana harus diningat pada abad ke-18 sewaktu berlaku Revolusi Pembaharuan di Mesir dan negara-negara yang lain, semangat kebangkitan ini telah meyelinap masuk ke Tanah Melayu sehingga tertubuhkan Kaum Muda dan akhbar Al-Imam. Kedau-dua medium ini telah menjadi pencetus kepada kebangkitan rakyat untuk memerangi penjajah pada waktu tersebut. Hal ini secara tidak langsung pada bila-bila masa perkara sebegini akan berlaku. Ingatlah Sejarah Yang Lalu Pernah Membuktikan Ia Akan Berlaku.

Persoalan kedua, Adakah kebangkitan ini akan menjadi penentu kepada PRU akan datang? Pendapat penulis adalah Ya! Hal ini kerana, akibat daripada kelekaan pemimpin negara (BN) pada tahun 2008, hampir kesemua negeri yang dikuasai oleh BN tewas di tangan PR sehinggakan hilang majoriti 2/3 kerusi parlimen. Rakyat akan bangkit menentang sekiranya golongan rakyat ini tidak dijaga dari segala genap. Perkara yang terbaru yang perlu BN perhatikan adalah kebangkitan golongan muda terutamanya mahasiswa dalam Pilihanraya Kampus (PRK) baru-baru ini, yang mana telah bangkit kesan daripada kelekaan kumpulan ASPIRASI dan hasilnya Aspirasi@Pro Kerajaan tumbang hampir di semua universiti kepada Pro Mahasiswa@Pro Pembangkang. Di samping itu, golongan belia yang merupakan nadi utama kepada penentu pemilihan pucuk pimpinan negara dalam PRU akan datang masih lagi ada yang belum mendaftar sebagai pengundi. Ini perkara pokok yang perlu kerajaan ambil perhatian yang mana adakah selama ini kerajaan tidak mendekati golongan-golongan belia atau program-program yang dijalankan selama ini hanya Syok Sendiri (SS) sehingga mereka merasakan tidak perlu untuk mendaftar sebagai pengundi kerana golongan ini merasakan tidak ada keuntungan untuk mereka mengundi dalam PRU. Jadi perkara ini harus menjadi penanda aras kepada kerajaan terhadap sejauhmana penerimaan rakyat kepada dasar dan pentadbiran negara.

Kesimpulannya, kerajaan perlu menganalisis sebaik mungkin terhadap penerimaan rakyat dalam pentadbiran negara selama ini dan adakah pelaksanaan terhadap sesebuah dasar memberi keuntungan kepada rakyat.

Kejatuhan ASPIRASI? Di mana Salahnya.

Bibit-bibit kejatuhan gerakan mahasiswa ini telah mula wujud pada Pilihanraya Kampus (PRK) yang lalu. Hilang 2/3 majoriti di kerusi MPP atau hilang ke semua kerusi Majlis Tertinggi MPP di kebanyakan universiti yang utama telah menampakkan bahawa ada penyakit yang sedang dihidapi oleh gerakan mahasiswa ini. Namun, penyakit tersebut bertambah serius sehinggakan pada PRK tahun ini hampir semua universiti tumbang di tangan Pro Mahasiswa. Di mana perginya doktor pakar dalam mengubat penyakit gerakan mahasiswa ini atau adakah ubat-ubat yang diberi oleh pihak hospital atau Kementerian Kesihatan Malaysia tidak cukup mujarab untuk merawat penyakit tersebut.

Perkara utama yang ingin penulis sentuh di sini adalah peranan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, Hospital, Klinik Kesihatan, Klinik Swasta dan doktor-doktor pakar dalam menguruskan para pesakit ini. Berbalik kepada mahasiswa, harus diingat mahasiswa pada masa kini bukan mahasiswa yang mudah menerima apa yang ditaburi oleh sesetangah pihak apabila hampir tiba PRK. Sekarang mahasiswa sudah tahu yang mana harus diterima pakai dan yang mana harus pakai buang sahaja. Saban tahun, apabila PRK akan tiba, maka berduyung-duyung orang yang tidak dikenali datang ke gerakan mahasiswa ini untuk membantu dari segala genap, kursus itu dan ini dan sebagainya. Namun, apabila keputusan PRK keluar, maka berduyung-duyung orang yang datang tadi pergi meninggalkan kumpulan ini. Akhirnya, terkontang-kanting kumpulan ini tanpa persediaan yang rapi untuk mengasah bakat dan mencungkil bakat untuk generasi baru akan datang. Inilah penyakit utama sebenarnya yang melanda kumpulan pesakit ini.

Apabila menang, kumpulan ini tidak didendangkan oleh pihak tersebut, tetapi apabila kalah, pelbagai dakyah dan tohmahan keluar oleh pihak yang berduyung-duyung datang tadi kepada kumpulan ini. Namun, sampai bila penyakit ini akan dapat diubati. Adakah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia akan menunggu sampai kumpulan pesakit ini mati baru hendak diberi ubat antibiotik atau injection. Adakah pihak hospital hendak menunggu arahan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia baru hendak mengeluarkan segala bentuk mesin untuk membantu pesakit-pesakit ini. Jadi fikir-fikirkanlah kepada pihak-pihak berikut (Siapa yang makan cili dia yang terasa pedas).

Tidak perlu wang yang beribu-ribu K untuk memuaskan hati kumpulan ini tetapi pimpin dan dekati kumpulan ini bukan untuk seketika tetapi ia dilakukan secara ISTIQAMAH.

Kumpulan Bangsa Yang Tidak Bersyukur!

Kumpulan bangsa yang tidak bersyukur yang dimaksudkan oleh penulis adalah HINDRAF. Pertubuhan yang sering kali merosakkan nama Malaysia di persada dunia dengan tohmahan dan fitnah-fitnah yang tidak berasas sama sekali. Pada tahun lepas, kumpulan ini juga turut mengadakan demonstrasi dengan alasan kebajikan masyarakat India di Malaysia tidak dijaga dan terabai. Sedangkan setelah 53 tahun Malaysia sudah merdeka pendidikan anak-anak mereka tidak disisihkan, ekonomi masyarakat mereka dijaga, serta kepentingan dan hak dijaga sama rata dan adil. Apa lagi yang mereka tidak puas hati. Terbaru pada 27 Februari 2011 sekali lagi kumpulan ini megadakan demonstrasi di KLCC yang bertujuan untuk menyatakan bahawa Interlok kononya Rasis. Mereka mendakwa bahawa dengan perkataan ‘paria’ yang terdapat dalam buku tersebut seperti menghina kaum India di Malaysia.

Interlok sebuah buku sastera telah dihasilkan 40 tahun dahulu yang oleh sasterawan negara Abdullah Hussian, dan kini buku ini menjadi salah satu buku sastera pelajar Sekolah Menengah Atas. Apa yang memeranjatkan banyak pihak, baru kini novel ini menjadi satu permasalahan yang besar kepada negara sehinggakan ada sesetengah parti politik mengambil kesempatan untuk menjadikan isu ini sebagai modal untuk memberi ceramah kepada umum. Penulis bersetuju apa yang diperkatakan oleh Tun Dr. Mahathir, katanya :

Sekarang kita dengar pendapat bahawa dalam menulis sejarah negara kita sensitiviti semua kaum mesti diambil kira. Soalnya setakat manakah yang sensitiviti boleh menidak kebenaran sejarah? Jika ia keterlaluan maka sejarah yang akan dipelajari oleh penuntut kita akan menjadi cerita dongeng dan bukan sejarah.Umpamanya ada dakwaan berkenaan dengan penduduk asal semenanjung ini yang bercanggah dengan kebenaran. Apakah kerana sensitifnya perkara ini maka kita tidak akan sebut berkenaan penduduk asal negeri-negeri Semenanjung, berkenaan orang asing yang datang menduduki semenanjung ini, yang menjadikan bahasa tempatan sebagai bahasa mereka, menerap sebahagian daripada budaya dan pakaian tempatan sebagai budaya dan pakaian mereka. Sekarang tidak ada lagi orang seperti ini kerana di zaman ini perlakuan seperti ini tidak dapat diterima oleh kaum tertentu. Oleh kerana semua ini, maka janganlah kita terlalu ghairah untuk tidak menyentuh sensitiviti kaum-kaum di negara tercinta ini sehingga hilang segala pelajaran yang boleh diperolehi dari sejarah kita yang benar.

Kesimpulannya, sejarah ini perlu diketahui oleh semua pihak kerana jika ia tidak dipelajari atau diketahui maka terdapatlah manusia-manusia yang buta sejarah sehinggakan apa yang dilaung dan dijerit oleh sesetengah kumpulan diturut dan dilaung bersama. Bak kata George Santayana, seorang ahli pemikir Amerika, "Mereka yang lupa akan sejarah akan didera dengan mengulangi kesilapan mereka berkali-kali". Jadi renung-renungkanlah kumpulan-kumpulan bangsa yang tidak menghargai dan mensyukuri dengan apa yang telah anda perolehi!

Penubuhan MPMP

Apakah itu MPMP? Untuk pengetahuan para pembaca, MPMP ini adalah singkatan bagi nama Majlis Perundingan Mahasiswa Perak Kebangsaan. Majlis ini menaungi semua persatuan mahasiswa anak-anak Perak di semua IPT seluruh Malaysia. Antara tujuan utama Majlis ini ditubuhkan tidak lain fokusnya adalah untuk menjaga kebajikan mahasiswa anak Perak. Di samping itu, majlis ini merupakan medium perantara antara mahasiswa dengan kerajaan negeri Perak. Bermaksud segala permasalahan yang berkaitan dengan mahasiswa, akan disampaikan terus oleh Majlis ini kepada kerajaan negeri dan sebarang dasar atau penguatkuasaan sesuatu perkara oleh kerajaan negeri, ia perlu mendengar pandangan dari Majlis ini dahulu sama ada sesuai atau pun tidak untuk dilaksanakan. Walaubagaimanapun, ingin ditegaskan bahawa Majlis ini adalah majlis non-partisan atau erti kata lain tidak terlibat kepada mana-mana parti POLITIK!

Selain itu, Majlis ini adalah platform terbaik kepada mahasiswa untuk mengasah bakat dalam bidang kepimpinan sama ada dari segi berkomunikasi, memimpin sesebuah organisasi, melaksanakan sesebuah program dan sebagainya. Hal ini secara tidak langsung, Majlis ini sebagai wadah baru kepada pergerakan mahasiswa dalam mencorak dan membantu pembangunan negeri Perak khususnya dan negara amnya. Di samping itu, Majlis ini adalah Majlis Perundingan Anak Negeri yang pertama buat julung-julung kalinya ditubuhkan di Malaysia dan ini secara tidak langsung satu pengiktirafan baru kepada pergerakan mahasiswa Anak Perak.

Sebagai langkah persediaan untuk penubuhan MPMP ini yang akan dilangsungkan pada bulan Jun 2011 ini, Sidang Pleno sebanyak 2 kali akan diadakan. Sidang Pleno yang pertama telah pun selesai pada 18-20 Feb 2011 yang lalu. Daripada sidang tersebut, perwakilan@presiden Anak Perak dari semua IPT di seluruh Malaysia bersetuju Pengerusi bagi Jawatankuasa Majlis adalah Menteri Besar Perak (Dato Seri Dr. Zambry B Abd Kadir). Selain itu, perlembagaan Majlis ini juga telah pun dipersetujui oleh semua perwakilan cuma terdapat beberapa perkara yang akan diteliti terlebih dahulu sebelum perlembagaan yang muktamad akan dipersetujui pada Sidang Pleno Kedua yang mana akan dihadiri oleh Datuk Irmohizam (Majlis Belia Malaysia).

Oleh itu, mahasiswa anak Perak seluruh Malaysia ayuh kita sama-sama menyokong penubuhan ini untuk kebaikan generasi mahasiswa akan datang dan pembangunan negeri Perak yang dicintai.

Wednesday, February 2, 2011

10 Wasiat Hassan Al-Banna

1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus_hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan da'wah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.