Permulaan tahun 2011 bermula dengan cetusan gelombang kebangkitan rakyat di negara Timur Tengah. Saban bulan dan saban minggu, satu persatu negara di Timur Tengah tumbang dek kebangkitan rakyat. Sehingga hari ini sudah dua buah negara tumbang iaitu Tunisia dan Mesir. Namun, kejayaan rakyat di dua buah negara ini menjatuhkan pemimpin yang zalim telah memberi semangat baru kepada saudara-mara di negara jiran yang terkini adalah Libya yang sedang dalam ussaha oleh rakyatnya untuk menumbangkan Muammar Gaddafi pemimpin zalim yang telah memerintah Libya hampir 30 tahun. Dek kerana mengaut keuntungan dan tidak menjaga kepentingan rakyat maka inilah padahnya. Cetusan ini hasil daripada kebangkitan golongan muda di negara Timur Tengah. Pepatah Melayu ada mengatakan:
Sampan Kolek Mudik Ke Muara
Sarat Muatan Rempah dan Lada
Jangan Di Robek Hati Anak Muda
Kelak Kerajaan Akan Sengsara
Di Malaysia selama 53 tahun negara merdeka, pelbagai kemajuan telah dikecapi. Sehinggakan keamanan dan keharmonian berbilang kaum di negara ini menjadi contoh kepada neagra-negara lain. Kaitan dengan kebangkitan rakyat di Timur Tengah dengan negara malaysia yang penulis ingin sentuh adalah, Adakah semangat dan gerakan ini telah mula menyelinap masuk ke negara ini? dan Adakah kebangkitan rakyat ini akan menjadi penentu kepada Pilihanraya Umum ke-13 akan datang?
Persoalan pertama adakah semangat kebangkitan rakyat di Timur Tengah mula menyelinap di negara ini? Seperti kita sedia maklum, Timb. Perdana Menteri ada menyatakan bahawa Pembaharuan Rakyat di Timur Tengah tidak masuk dan wujud di negara Malaysia tercinta ini. Tetapi sejauhmana kenyataan tersebut mampu menidakkan penularan semangat tersebut. Hal ini kerana harus diningat pada abad ke-18 sewaktu berlaku Revolusi Pembaharuan di Mesir dan negara-negara yang lain, semangat kebangkitan ini telah meyelinap masuk ke Tanah Melayu sehingga tertubuhkan Kaum Muda dan akhbar Al-Imam. Kedau-dua medium ini telah menjadi pencetus kepada kebangkitan rakyat untuk memerangi penjajah pada waktu tersebut. Hal ini secara tidak langsung pada bila-bila masa perkara sebegini akan berlaku. Ingatlah Sejarah Yang Lalu Pernah Membuktikan Ia Akan Berlaku.
Persoalan kedua, Adakah kebangkitan ini akan menjadi penentu kepada PRU akan datang? Pendapat penulis adalah Ya! Hal ini kerana, akibat daripada kelekaan pemimpin negara (BN) pada tahun 2008, hampir kesemua negeri yang dikuasai oleh BN tewas di tangan PR sehinggakan hilang majoriti 2/3 kerusi parlimen. Rakyat akan bangkit menentang sekiranya golongan rakyat ini tidak dijaga dari segala genap. Perkara yang terbaru yang perlu BN perhatikan adalah kebangkitan golongan muda terutamanya mahasiswa dalam Pilihanraya Kampus (PRK) baru-baru ini, yang mana telah bangkit kesan daripada kelekaan kumpulan ASPIRASI dan hasilnya Aspirasi@Pro Kerajaan tumbang hampir di semua universiti kepada Pro Mahasiswa@Pro Pembangkang. Di samping itu, golongan belia yang merupakan nadi utama kepada penentu pemilihan pucuk pimpinan negara dalam PRU akan datang masih lagi ada yang belum mendaftar sebagai pengundi. Ini perkara pokok yang perlu kerajaan ambil perhatian yang mana adakah selama ini kerajaan tidak mendekati golongan-golongan belia atau program-program yang dijalankan selama ini hanya Syok Sendiri (SS) sehingga mereka merasakan tidak perlu untuk mendaftar sebagai pengundi kerana golongan ini merasakan tidak ada keuntungan untuk mereka mengundi dalam PRU. Jadi perkara ini harus menjadi penanda aras kepada kerajaan terhadap sejauhmana penerimaan rakyat kepada dasar dan pentadbiran negara.
Kesimpulannya, kerajaan perlu menganalisis sebaik mungkin terhadap penerimaan rakyat dalam pentadbiran negara selama ini dan adakah pelaksanaan terhadap sesebuah dasar memberi keuntungan kepada rakyat.
No comments:
Post a Comment