Apakah itu MPMP? Untuk pengetahuan para pembaca, MPMP ini adalah singkatan bagi nama Majlis Perundingan Mahasiswa Perak Kebangsaan. Majlis ini menaungi semua persatuan mahasiswa anak-anak Perak di semua IPT seluruh Malaysia. Antara tujuan utama Majlis ini ditubuhkan tidak lain fokusnya adalah untuk menjaga kebajikan mahasiswa anak Perak. Di samping itu, majlis ini merupakan medium perantara antara mahasiswa dengan kerajaan negeri Perak. Bermaksud segala permasalahan yang berkaitan dengan mahasiswa, akan disampaikan terus oleh Majlis ini kepada kerajaan negeri dan sebarang dasar atau penguatkuasaan sesuatu perkara oleh kerajaan negeri, ia perlu mendengar pandangan dari Majlis ini dahulu sama ada sesuai atau pun tidak untuk dilaksanakan. Walaubagaimanapun, ingin ditegaskan bahawa Majlis ini adalah majlis non-partisan atau erti kata lain tidak terlibat kepada mana-mana parti POLITIK!
Selain itu, Majlis ini adalah platform terbaik kepada mahasiswa untuk mengasah bakat dalam bidang kepimpinan sama ada dari segi berkomunikasi, memimpin sesebuah organisasi, melaksanakan sesebuah program dan sebagainya. Hal ini secara tidak langsung, Majlis ini sebagai wadah baru kepada pergerakan mahasiswa dalam mencorak dan membantu pembangunan negeri Perak khususnya dan negara amnya. Di samping itu, Majlis ini adalah Majlis Perundingan Anak Negeri yang pertama buat julung-julung kalinya ditubuhkan di Malaysia dan ini secara tidak langsung satu pengiktirafan baru kepada pergerakan mahasiswa Anak Perak.
Sebagai langkah persediaan untuk penubuhan MPMP ini yang akan dilangsungkan pada bulan Jun 2011 ini, Sidang Pleno sebanyak 2 kali akan diadakan. Sidang Pleno yang pertama telah pun selesai pada 18-20 Feb 2011 yang lalu. Daripada sidang tersebut, perwakilan@presiden Anak Perak dari semua IPT di seluruh Malaysia bersetuju Pengerusi bagi Jawatankuasa Majlis adalah Menteri Besar Perak (Dato Seri Dr. Zambry B Abd Kadir). Selain itu, perlembagaan Majlis ini juga telah pun dipersetujui oleh semua perwakilan cuma terdapat beberapa perkara yang akan diteliti terlebih dahulu sebelum perlembagaan yang muktamad akan dipersetujui pada Sidang Pleno Kedua yang mana akan dihadiri oleh Datuk Irmohizam (Majlis Belia Malaysia).
Oleh itu, mahasiswa anak Perak seluruh Malaysia ayuh kita sama-sama menyokong penubuhan ini untuk kebaikan generasi mahasiswa akan datang dan pembangunan negeri Perak yang dicintai.
No comments:
Post a Comment