Saturday, September 12, 2009

Asal Usul Islam-Melayu

Islam adalah Ad-Din yang bersifat sejagat atau syumul. Islam tidak didominasi oleh sesuatu kaum walaupun Islam diturunkan kepada Nabi Mumammad SAW dari kaum Arab Quraisy. Bangsa Arab atau kaum Quraisy juga tidak menyempit Islam sebagai satu penguasaan hakiki di kalangan mereka, wal hal dalam kontek sejarah, mereka tidak dipersalahkan sekiranya meletakkan kaum mereka di status demikian. Hakikatnya Islam telah dianuti pelbagai suku bangsa, pelbagai budaya dan pelbagai adat resam tanpa sempadan benuanya.

Melayu pula merupakan satu rumpun kaum yang secara sejarahnya dikatakan kaum yang menetap di rantau nusantara ini sejak lebih 25 ribu tahun lalu. Arkeologi Lembah Bujang yang menghubungkan Negeri Lindungan Kedah Tua di era Kerajaan Langkasuka dan Serivijaya serta Kota Tampan di Lenggong pula membuktikan sejarah di penempatan di lokasi tersebut dikuasai pengaruh agama Hindu dan Buddha sebegitu lama. Disebabkan catatan sejarahnya amat kabur, tidak banyak bukti ilmiah yang menerangkannya. Namun orang Melayu Jawa yang beragama Hindu yang kemudiannya membentuk komuniti mereka berpindah ke Bali membuktikan sejarahnya bahawa terdapat orang Melayu yang beragama Hindu. Begitu juga di Sabah dan Filipina yang terdiri dari orang yang berasal dari keturunan Melayu yang beragama Kristian dan lain-lain agama.

Dalam konteks Malaysia, Melayu dan Islam adalah satu pengsebatian yang dibuktikan oleh sejarah terkemudian. Kerajaan Melayu Melaka, Acheh, Pasai, dan Patani. Di nusantara ini telah mengalami satu perubahan sejarah yang mengkagumkan. Perkembangan Islam dalam dunia Melayu di nusantara mencorak dimensi baru ke atas pola peradaban Melayu hingga ke saat ini. Ia bermula dari era perdagangan laut dunia ketika zaman awal perkembangan Islam.

Walaupun agama kristian lebih awal diturun dan tersebar berbanding Islam tetapi era kegelapan di Eropah menyebabkan agama tersebut tidak dapat dikembangkan secara menyeluruh di seluruh dunia. Sebaliknya era kegemilangan Islam dan penemuan dunia perniagaan yang menggunakan jalan laut di zaman para sahabat menyebabkan Islam mudah tersebar dan berkembang khususnya di alam dunia melayu yang kaya dengan bahan mentah dan rempah ratus. Di Tanah Melayu penyebaran agama Islam amat unik. Ia berlaku tanpa sebarang pertumpahan darah. Kemasukan Islam di Tanah Melayu bermula selepas Parameswara Raja Melaka memeluk Islam dalam abad ke 15. Pengislaman Parameswara tidak mempunyai hubung kait dengan kekayaan yang dimiliki oleh pedagang-pedagang Islam yang berurusan di Melaka. Malah ketika itu pedagang dari India, China dan Eropah juga turut berurusan di perairan Melaka.

Cuba anda bayangkan bagaimana usaha dakwah yang dilakukan oleh mubaligh Islam ketika itu untuk mengislamkan seorang raja yang berkuasa dan berpengaruh. Menukar agama bukan semudah penukaran barang dagangan atau pakaian sutera yang tersarung di badan. Penukaran agama lama kepada agama baru melibatkan pengorbanan ke arah pengabdian spiritual dan fizikal yang amat berat dan sukar. Namun pendakwah-pendakwah Islam yang datang dari Arab, Parsi, India dan China ketika itu berjaya mengislamkan raja Melaka. Rahsia pengislaman Parameswara adalah dikaitkan dengan keindahan akhlak yang ditunjukkan oleh orang-orang Islam ketika berurusan di pelabuhan Melaka.

Amanah, berbudi pekerti, menepati janji serta bersopan santun sebagaimana yang dianjurkan Islam dipratik secara zahir dan batin oleh pedagang-pedagang Islam ketika itu. Dikisahkan sebelum Parameswara memeluk Islam, pada suatu hari, baginda telah melihat perlakuan sekumpulan pedagang-pedagang Islam yang sedang sembahyang berjamaah. Baginda kagum melihat mereka yang bersembahyang itu kerana terdiri dari pelbagai bangsa seperti Arab, Parsi, India dan China melakukan perlakuan yang sama dengan diketuai oleh seorang imam.

Selepas tamat bersembahyang mereka berjabat salam tanpa membezakan negara yang mereka datang serta warna kulit yang mereka miliki. Mereka juga saling berpelukan dan beramah mesra bagaikan bersaudara sedangkan mereka baru pertama kali bertemu. Raja Parameswara bertanya kepada pembesar dan hulubalang-hulubalang yang mengiringi beliau, “Pernahkah kamu berurus dagang dengan mereka?” Shahbandar yang turut mengiringi baginda berkata, “Amat mudah apabila berurusan dengan mereka, mereka sentiasa beramah mesra dan tidak menipu, apabila berjanji mereka tepati, apabila berhutang mereka tidak mengenakan bayaran yang tinggi dan mereka juga murah hati dan mudah memberi.”

Parameswara bertanya lagi, “Apakah nama tuhan yang mereka sembah itu dan apakah nama agama mereka. ” Seorang hulubalang yang telah memeluk Islam menjawab, “Tuhan mereka dipanggil ALLAH dan agama mereka disebut ISLAM.” Lalu baginda bertitah kepada seorang pembesarnya, “Titahkan ketua di antara mereka itu menemui beta.” Parameswara dikatakan memeluk agama Islam selepas peristiwa tersebut. Sebagai seorang raja, baginda menyedari sekiranya diri beliau dan seluruh rakyat baginda memiliki akhlak dan keperibadian sebagaimana yang ditunjukkan oleh pedagang-pedagang Islam tersebut nescaya negeri Melaka akan menjadi aman, makmur dan sejahtera. Tidak akan berlaku rasuah, terhapus segala kemiskinan, golongan kaya akan bermurah hati membantu yang miskin, rakyat akan bersatu padu, jenayah akan dibasmi dan pemerintahan baginda akan dihormati dan disegani.

Islamnya Parameswara memberi kesan yang besar kepada Melaka sehingga hampir semua pembesar dan rakyat Melaka menerima Islam. Maka terbentuklah sebuah tamadun Melayu yang berasaskan dari ketamadunan Islam yang kemudiannya berkembang ke seluruh pelusuk Tanah Melayu.

2 comments: