Wednesday, September 16, 2009

Sunnah Rasulullah S.A.W Pada Aidil Fitri

Aidil Fitri sering disebut sebagai hari kemenangan. Menang dalam memerangi berbagai godaan selama sebulan. Rasulullah saw mengajarkan hal-hal berikut dalam menyambut Aidil Fitri :

1. Disunatkan mandi dan memakai pakaian yang terbaik dari yang dimiliki. Khusus lelaki-lelaki disunatkan memakai wangian. Bagi wanita, memakai wangi-wangian/berhias di luar rumah diharamkan, kerana akan menimbulkan fitnah. Hasan Ash-Shibit berkata : "Rasulullah memerintahkan kami agar pada hari 'idain (Aidil Fitri dan Aidil Adha) mengenakan pakaian yang terbaik, memakai wangian, dan berkorban (pada Aidil Adha) dengan haiwan yang paling berharga." (diriwayatkan oleh Al-Hakim). Ibnul Qayyim mengatakan, pada kedua-dua hari raya itu, Rasulullah biasa mengenakan pakaian yang cantik. Bahkan beliau menyediakan satu set pakaian khusus untuk hari raya dan solat Jumaat.

2. Disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid/surau. Berkata Anas bin Malik, "Sesungguhnya Rasulullah tidak berangkat (ke tempat solat) pada hari Aidil Fitri sebelum memakan beberapa buah kurma dengan jumlah yang ganjil."(HR Ahmad dan Bukhari).

3. Disunatkan seluruh kaum muslimin beserta keluarganya untuk hadir di tempat solat. Khusus bagi wanita yang sedang haid tidak ikut mengerjakan solat, jadi hanya datang. Ummu 'Athiyyah menjelaskan, "Kami diperintahkan untuk mengeluarkan semua gadis dan wanita yang haid pada kedua hari raya tersebut agar mereka dapat menyaksikan kebaikan hari itu dan mendapat doa dari kaum muslimin. Hanya wanita yang haid sahaja tidak perlu ke surau/masjid (di saat orang lain solat)." muttafaq 'alaih

4. Menempuh jalan yang berbeza ketika pergi dan pulang (jika memungkinkan). "Adalah Nabi SAW, pada hari raya menempuh jalan yang berlainan (HR. Bukhari)

5. Ketika bertemu sesama muslim digalakkan untuk saling mendoakan mereka. Doa yang sering diucapkan oleh para sahabat r.a adalah : Taqabballahu minna wa minkum (semoga Allah menerima (ibadah) dari kami dan dari anda).
Selain adab-adab khusus di atas, kita juga harus memerhatikan adab-adab yang telah berlaku secara umum.

6. Tidak boros dan membazir. Ingatlah di tempat lain masih banyak saudara-saudara kita yang berada dalam kesusahan untuk mencari sesuap nasi. Allah menegaskan bahawa orang-orang yang boros adalah saudara syaitan.(QS Al-Israa': 26-27)

7. Tidak berlaku israf (berlebih-lebihan), Rasulullah bersabda, "Makan, minum, berpakaian, dan bersedekahlah kamu dengan tidak berlebihan dan tidak sombong".

8. Termasuk dilarang bersalaman dengan yang bukan muhrimnya. Sering terjadi, kerana dengan alasan bermaaf-maafan, seorang lelaki bersalaman dengan wanita yang bukan muhrim. Berkata Rasulullah saw, "Sesungguhnya saya tidak pernah bersalaman dengan wanita".

No comments:

Post a Comment