Thursday, November 25, 2010

Konvensyen BN - PAS Akan Sertai BN?



Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabtu dan Ahad depan dijangka membawa beberapa elemen mengejutkan dan merintis jalan perubahan dalam usaha mengukuhkan kedudukannya selaras dengan perkembangan semasa.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengumumkan perkara itu berkata ini termasuk beberapa kemungkinan pindaan terhadap perlembagaan BN.

"Kita akan kejutkan anda pada hari itu. Beberapa perubahan akan dilakukan oleh BN. Sudah tiba masanya bagi kami bergerak ke depan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan satu mesyuarat mengenai konvensyen itu di Wisma MCA di Kuala Lumpur Jumaat.

Bernama melaporkan ketika ditanya apa yang akan menjadi kejutan itu, beliau berkata: "Macam-macam akan berlaku. Anda akan terkejut, jangan bimbang."

Tengku Adnan berkata konvensyen sehari di Dewan San Choon, Wisma MCA akan dirasmikan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak. Bagaimanapun, beliau berkata sesi perdebatan merupakan majlis tertutup tetapi memberi jaminan bahawa media akan diberi maklumat berhubung keputusan yang diambil dalam sesi itu dari semasa ke semasa.

"Kami nak buat strategi, lihat diri kita sendiri, nak perbaiki. Kita nak memerintah negara ini demi kepentingan rakyat, jadi kita terpaksa buat tertutup, kerana kalau kita buat secara terbuka, strategi yang dibuat oleh BN akan diketahui oleh parti lawan," katanya. Isu-isu lain yang dijangka dibincangkan termasuk mengenai 1Malaysia, ekonomi, pembangunan, pendidikan, kebajikan dan kedaulatan undang-undang.

"Tiap-tiap 13 komponen parti akan diberi peluang untuk membahaskan tajuk-tajuk yang akan dipersetujui," katanya.

Ini merupakan konvensyen BN kali kedua selepas pertama kali diadakan pada 1995. Mengenai pemilihan venue, Tengku Adnan berkata ia bukan satu isu kerana ia selaras dengan amalan perkongsian kuasa BN.

No comments:

Post a Comment