Tuesday, December 22, 2009

E-Voting???

Di kala dewasa ini, padang untuk bermain bola rumputnya telah panjang maka ramai pihak akan mengkritik dari segenap penjuru dengan persoalaan yang akan timbul kenapa rumput tersebut tidak dipotong? Siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab untuk memotongnya? Begitulah analogi yang dapat penulis ungkapkan berkaitan dengan Pilihanraya Kampus (PRK) yang akan memasuki edisi yang baru pada Januari ini . Sekaligus ia juga mempunyai kaitan yang begitu rapat dengan tajuk di atas iaitu sistem e-voting.

Seperti sedia maklum, kebanyakan IPT menggunakan sistem e-voting dalam melaksana pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang akan diundi oleh mahasiswa-mahasiswa. Walaubagaimanapun, sejak akhir-akhir ini ramai yang menidakkan ketidaktulusan sistem e-voting dalam proses pengundian bagi pemilihan wakil pelajar. Namun, pihak yang kerap menyuarakan perkara ini adalah daripada golongan Pro Mahasiswa yang dikatakan oleh media massa adalah kumpulan pembangkang di universiti.

Apa yang lagi menimbulkan persoalan disini, jika dikatakan e-voting tersebut tidak tulus tapi mengapa Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan sebagainya calon-calon Pro Mahasiswa masih lagi berada dalam kerusi ahli MPP dan ada diantaranya menguasai dan memenangi kerusi MPP terutamanya UM dan boleh dikatakan kemenangan dan penguasaan Pro M ini akibat daripada tempias tsunami politik negara selepas tamatnya Pilihanraya Umum pada tahun lepas.

Jika dilihat dari kenyataan di atas kita dapat lihat sebenarnya e-voting ini bukanlah tidak tulus dan bias kepada mana-mana pihak seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah kumpulan bahkan begitu demokrasi dan komprehensif sejajar dengan perkembangan teknologi yang kian pantas. Kenyataan yang dicampak oleh golongan ini di media massa bahawa dengan e-voting mematikan demokrasi adalah tidak benar sama sekali. Sekiranya ia dikatakan tidak demokrasi mengapa sistem undi masih diwujudkan untuk memilih seseorang ketua? Adakah dengan memansuhkan e-voting dan menggantikan dengan sistem yang lain ia dikatakan demokrasi? E-Voting sebenarnya tidak mematikan dan memusnahkan demokrasi tetapi orang yang berada di dalamnya sebenarnya yang mematikan e-voting tersebut.

Percaya atau tidak tunggu dan lihat sekiranya e-voting dimansuhkan pasti ada lagi perkara yang dituntut oleh golongan-golongan ini, kerana lumrah manusia tidak puas dengan perkara yang ada disekelilingnya. Namun, apa yang dituntut oleh mereka ini adalah untuk kepuasan mereka dan kumpulan mereka sendiri. Walaupun gah dengan moto ‘kebajikan’ bagi golongan Pro M ini tetapi ia hanya sekadar pewarna yang mencantikkan lukisan di sebuah kertas yang putih yang akan dibuang oleh pelukis apabila tiba masanya.

Justeru, kepada semua mahasiswa anda boleh renung-renungkan yang mana baik dan yang mana buruk kerana penulis yakin dan pasti sebagai golongan bijak pandai yang mempunyai akal dan kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kita mampu memilih jalan dan menyelesaikan masalah dengan baik supaya kita tidak lari dari matlamat yang ditanam dalam jiwa setiap insan yang bergelar khalifah di muka bumi ini. Ingatlah, matlamat tidak menghalalkan cara. Sebalikya, kita sendiri harus berusaha dan berikhtiar mencari cara yang sesuai dan terbaik untuk mencapai matlamat tersebut.

No comments:

Post a Comment