Thursday, November 25, 2010

Istilah Yang DisalahErti...

Nampaknya orang dengan mudah dan secara jahil sahaja menggunakan istilah- istilah tertentu yang salah dan tidak benar terhadap satu-satu kaum di negara ini, terutama terhadap orang Melayu. Istilah seperti racist, Malay ultras, dan right-wing Malays digunakan untuk memburuk-burukkan orang Melayu atau kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang cuba mempertahankan hak dan kepentingan bangsa mereka.

Tetapi orang lain atau kaum lain dan NGO bukan Melayu yang tidak berhenti-henti mempertahankan hak dan kepentingan mereka tidak pula atau jarang-jarang dituduh 'rasis', 'ultra' dan 'golongan kanan'.

Istilah-istilah yang tersebut itu tidak ada dalam bahasa Melayu atau dalam budaya dan akal budi bangsa Melayu. Semua istilah itu, yang berasal dari bahasa Inggeris atau bahasa Barat, melambangkan pemikiran mereka, budaya mereka dan pengalaman mereka dalam sejarah bangsa mereka.

Kerana inilah istilah itu tidak ada padanannya dalam bahasa dan budaya Melayu; maknanya tidak pernah wujud dalam pengalaman budaya, sosiobudaya dan politik bangsa Melayu.

Kalau ditanya kepada orang Melayu, apa makna racist atau istilah pinjamannya dalam bahasa Melayu, iaitu 'rasis', saya pasti tidak ada orang Melayu yang dapat menjelaskan maknanya berdasarkan konsep atau pengalaman sosiobudaya dan sosiopolitik bangsa Melayu, kerana makna itu memang tidak ada dalam budaya dan pemikiran Melayu.

Yang ada dalam peristilahan sosiobudaya Melayu adalah istilah 'bangga bangsa' atau 'megah bangsa'. Ini bukan rasisme. Rasisme bererti, kepercayaan bahawa bangsa sendiri lebih mulia, lebih beradab, maju, cerdik dan berakhlak tinggi daripada orang atau kaum lain.

Inilah kepercayaan kaum Yahudi. Mereka percaya bahawa kaum mereka adalah 'kaum pilihan', yakni dipilih oleh Tuhan sebagai kaum yang terbaik, terhormat, berbanding dengan kaum-kaum lain. Kerana sifat atau kepercayaan inilah, kaum Yahudi dibenci atau dicurigai di mana sahaja mereka berada.

Sikap dan perasaan rasis ini tidak terdapat dalam otak dan hati kaum Yahudi sahaja. Orang Eropah 'caucasus' berkulit putih juga sangat rasis. Mereka tidak hanya membenci kaum Yahudi. Mereka juga membenci kaum-kaum lain. Mereka percaya bahawa bangsa mereka adalah bangsa yang bertamadun tinggi, berakhlak tinggi, mulia dan maju, tidak seperti bangsa-bangsa kulit hitam.

Kerana itu di Eropah terdapat pelbagai kumpulan 'ultra', kumpulan right-wing atau jelasnya, kumpulan rasis seperti kumpulan 'Swastika' yang memuja rasisme Nazi Hitler, yang membenci semua kaum asing - Arab, India, Cina dan lain-lain.

Di Britain ada kumpulan skinheads yang antikaum pendatang. Di Amerika Syarikat ada beberapa kumpulan antikaum kulit hitam, anti agama Islam, anti kaum pendatang, misalnya kumpulan 'Klu Klax Klan'.

Dapatkah sesiapa menunjukkan apa-apa bukti dalam sejarah bangsa Melayu di Tanah Melayu ini, bahkan di seluruh rantau 'Dunia Melayu', kejadian-kejadian tindakan rasis Melayu yang dahsyat dan berpanjangan terhadap kaum bukan Melayu, terhadap kaum pendatang dari negeri Cina dan India khususnya sebelum mereka menjadi warga negara Malaya atau Malaysia selepas merdeka?

Pernahkah berlaku peristiwa ethnic cleansing atau 'pembersihan etnik' seperti yang dilakukan oleh bangsa Serbia terhadap kaum Islam Bosnia? Apakah ada kumpulan rasis seperti kumpulan 'Swastika' dan Skinheads Melayu di Tanah Melayu hingga hari ini?

Berbalik kepada istilah-istilah yang tersebut di atas. Perkataan race asalnya digunakan oleh para ahli antropologi untuk menjelaskan ciri-ciri fizikal satu-satu kaum yang mereka kaji. Dari segi takrif antropologi fizikal itu, orang Melayu boleh dianggap sebagai satu race atau 'ras'. Tetapi orang Melayu juga adalah 'bangsa' atau dalam bahasa Inggeris disebut nation.

Bangsa melebihi kumpulan 'ras' atau etnik dan segala sub-etnik Melayu. Orang Melayu berkembang menjadi bangsa, iaitu kesatuan umat yang besar, setelah mereka membina tamadun tinggi, merentas sempadan etnik Melayu, menubuhkan negeri atau negara, mendirikan kerajaan, menciptakan kesusasteraan tinggi, mengembangkan ilmu melalui bahasa kebangsaan Melayu, iaitu bahasa persuratan, memeluk agama sejagat, iaitu Islam, agama yang tidak mengira kaum, agama yang adil kepada semua kaum.

Dalam budaya Melayu-Islam ini tidak ada konsep perpecahan umat atau manusia berdasarkan kaum, warna kulit, darjat dan keturunan, pendek kata, tidak ada ideologi atau kepercayaan rasisme, tidak ada kata-kata menghina kaum lain. Tidak ada istilah 'ultra' atau 'melampau' atau 'pelampau', tidak ada istilah 'Melayu right-wing' atau 'Melayu left-wing' - itu semua adalah istilah Barat yang menggambarkan ideologi perpecahan mereka.

Yang ada dalam peristilahan sosiobudaya dan sosiopolitik bangsa Melayu adalah istilah 'bangga bangsa' atau 'megah bangsa'. Semua kaum dan bangsa mempunyai perasaan atau kesedaran ini. Ini bukan rasisme, seperti yang dijelaskan di atas. Perasaan inilah yang menimbulkan semangat 'nasionalisme' atau 'semangat kebangsaan' di kalangan bangsa Melayu.

Semangat inilah yang menyatukan bangsa Melayu untuk menentang gagasan atau muslihat 'Malayan Union' British dalam tahun 1946, untuk mempertahankan 'negara' atau 'negeri' mereka, iaitu Tanah Melayu, dan raja mereka, hak warisan mereka, iaitu bahasa mereka, budaya mereka dan agama mereka daripada dijajah dan dihapuskan oleh penjajah British.

sumber: utusan malaysia online.

No comments:

Post a Comment